PUTRAJAYA – Seramai 1,386 orang calon telah disahkan layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan proses penamaan calon yang berlangsung hari ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, daripada jumlah tersebut, 187 daripadanya adalah terdiri daripada calon wanita yang akan turut bertanding bagi merebut kerusi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Daripada 187 calon wanita yang disahkan layak bertanding pada PRU15, 127 calon akan bertanding di peringkat Parlimen, 59 di DUN Pahang, Perlis dan Perak manakala seorang lagi di DUN N.66 Bugaya, Sabah.
“Bagi calon lelaki pula, daripada 1,199 calon, seramai 818 akan bertanding di peringkat Parlimen, 375 di peringkat DUN Pahang, Perlis dan Perak manakala baki enam lagi di DUN N.66 Bugaya, Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abdul Ghani, di peringkat Parlimen, seramai 19 calon adalah berusia 21 hingga 29 tahun, 129 calon (30 hingga 30 tahun), 241 calon (40 hingga 49 tahun), 298 calon (50 hingga 59 tahun) dan 258 calon berusia lebih daripada 60 tahun.
“Bagi DUN pula, 17 calon berusia 21 hingga 29 tahun, 75 calon (30 hingga 39 tahun), 106 calon (40 hingga 49 tahun), 144 calon (50 hingga 59 tahun) dan 92 calon berusia lebih daripada 60 tahun,” jelas beliau.
Tambah beliau, Penyandang Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Pejuang) merupakan calon tertua bagi PRU15 diikuti Karil Pg. Kuraini dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), 76 tahun dan Fuaddin Kamaruddin (Pejuang), 70 tahun.
“Calon termuda yang akan bertanding dalam PRU15 pula adalah Peggy Chaw Zhi Ting (Bebas) di P.181 Tenom dan Muhammad Syahmi Suhaimi dari Pakatan Harapan (PH) di DUN N12 Tambun Tualang yang masing-masing berusia 23 tahun serta Jufazli Shi Ahmad (Bebas) di DUN N.66 Bugaya, 33 tahun,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Ghani memaklumkan bahawa sebanyak 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) telah ditubuhkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memantau semua aktiviti calon-calon yang bertanding ketika berkempen.
Ujar beliau, calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan.
“Ia adalah bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.
“Bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan,” tegas beliau.
Abdul Ghani berkata, pihaknya berharap agar aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan. -KOSMO! ONLINE