PETALING JAYA – Pasukan Sabah FC terpaksa bermandi peluh sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas wakil Liga Premier, Kuching City pada aksi suku akhir pertama di Stadium Negeri, Kuching sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, skuad The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee membariskan kesebelasan terbaik terdiri daripada Baddrol Bakhtiar, Park Tae-su dan Taiki Kagayama.
Pasukan tuan rumah yang dibimbing oleh Irfan Bakti Abu Salim turut mengekalkan keseluruhan pemain terbaik yang berjaya menewaskan Penang FC sebelum ini seperti Abu Kamara, Yuki Tanigawa dan Mohamad Alif Hasan.
Kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan dengan skuad pelawat dilihat beberapa kali menguji benteng The Cats menerusi gerakan penyerang muda, Azhad Harraz Arman dan Farhan Roslan.
Kuching turut meraih peluang untuk membuka jaringan tetapi rembatan percuma yang dilakukan oleh Mohamad Alif sedikit tersasar dengan kedudukan 0-0 berakhir pada tamat babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, skuad Sabah menggandakan asakan dan akhirnya berjaya meraih gol pembukaan hasil ledakan Baddrol selepas penjaga gol Kuching, Shaiful Wazizi menangkap kemas percubaan Farhan pada minit ke-69.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kuching memperkemaskan jentera serangan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-79 tetapi tandukan Abu Kamara sedikit tersasar.
Pasukan tuan rumah semakin terdesak untuk mendapatkan gol penyamaan dengan rembatan Adam Shreen pula gagal menepati sasaran berselang enam minit kemudian sekali gus mengecewakan lebih 20,000 penyokong ke stadium.
Pasukan Sabah turut berusaha untuk mencari gol kedua tetapi kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Aksi suku akhir kedua akan dilangsungkan di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat depan. – KOSMO! ONLINE