KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Wangsa Maju pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan (Warisan) dan calon bebas.
Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Wangsa Maju, Datuk Zulkurnain Hassan di pusat penamaan calon di Dewan Wangsa Bestari, Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Melawati, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya berpuas hati selepas melakukan semakan ke atas semua borang penamaan calon tersebut.
“Penyerahan borang penamaan calon di Parlimen Wangsa Maju bermula pukul 9 hingga pukul 9.46 pagi.
“Borang penamaan calon telah selesai disemak dan saya berpuas hati, justeru tiada calon yang ditolak kertas penamaan calonnya,” katanya di sini hari ini.
Pertembungan enam penjuru itu menyaksikan persaingan antara bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong (Warisan), calon PKR Zahir Hassan, Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah dari BN, Nuridah Mohd. Salleh (PN), Norzaila Arifin (Pejuang) dan calon bebas, Raveen Suntheralingam.
Berdasarkan rekod SPR, Wangsa Maju mempunyai seramai 120,292 pengundi berdaftar.
Terdahulu, SPR menetapkan 19 November ini sebagai Hari Pengundian PRU15 selepas Parlimen dibubarkan 10 Oktober lalu dengan tarikh pengundian awal pada 15 November manakala tempoh berkempen 14 hari. – KOSMO! ONLINE