PETALING JAYA – Penduduk sekitar Lembah Pantai mahu isu kesesakan jalan raya dan parkir kenderaan terutamanya di rumah flat dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) diselesaikan segera.
Menurut penduduk, dua isu ini sudah berlarutan lebih 10 tahun dan setiap kali pilihan raya umum (PRU) diadakan, isu ini antara ‘janji’ yang dibuat calon parti yang bertanding di situ.
Lebih malang kata penduduk, isu berkenaan seolah-olah ‘masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri setelah PRU berlalu.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Abe Loh, 66, berkata, pelbagai janji telah ‘ditabur’ oleh calon yang bertanding di kawasan tersebut sebelum PRU, namun sehingga kini kedua-dua masalah itu belum selesai.
Jelasnya, masalah kesesakan jalan raya terutamanya berdekatan Stesen KTM Komuter Pantai Dalam adalah berpunca pembinaan kedai runcit dan kedai makan berdekatan di bahu jalan.
“Kebanyakan pelanggan kedai-kedai ini akan parkir di tepi jalan dan telah menutup sebahagian ruang jalan yang sedia sempit di sini.
“Keadaan ini bertambah buruk pada Ahad kerana ada pasar pagi menyebabkan jalan sesak dari susur keluar Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) dan dari arah Petaling Jaya bermula dari Jalan Gasing,” katanya kepada Kosmo!.
Mengulas lanjut, katanya, dia dan beberapa wakil penduduk telah banyak membuat aduan kepada pihak wakil rakyat, namun setakat ini tiada tindakan susulan yang dilakukan.
Ujarnya, sebagai penduduk yang menetap lebih 30 tahun di Lembah Pantai, pihaknya berharap agar wakil rakyat yang dipilih selepas ini dapat menyelesaikan segera isu ini.
Sementara itu, seorang kakitangan awam, Mohd. Zahuri Hamzah, 45 berkata, masalah kesesakan di kawasan tersebut turut disumbang oleh kekurangan parkir terutamanya di flat dan PPR.
“Kawasan perumahan banyak di sini hampir setiap tahun naik perumahan baharu, tetapi kawasan parkir yang disediakan terhad. Sekarang ini satu keluarga akan mempunyai lebih daripada satu kenderaan.
“Bagi yang menetap di PPR, mereka akan merasai masalah ini dan sebagai alternatif, bahu-bahu jalan yang akan menjadi kawasan parkir.
“Sebab itu kalau kita lihat kawasan flat atau PPR di sini parkirnya sentiasa penuh sehingga jalan dua lorong tinggal satu lorong sebab mereka gunakan bahu jalan untuk parkir,” ujarnya.