JAKARTA – Polis Jakarta Pusat memaklumkan bahawa penganjur Festival Berdendang Bergoyang sengaja mencetak tiket dalam jumlah yang banyak, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia kelmarin.
Ketuanya, Komisioner Besar Komarudin berkata, jumlah tiket yang dicetak tidak sepadan dengan permohonan permit untuk acara tersebut.
“Daripada data terkini, memang ada kelalaian termasuk cetakan tiket yang disengajakan kerana bilangannya sangat jauh berbeza dengan surat permohonan yang diserahkan.
“Bilangan tiket yang terjual secara online sangat berbeza daripada jumlah yang dicadangkan kepada kami,” kata Komarudin kelmarin.
Berdasarkan siasatan terkini, Komarudin berkata, tiket yang dijual mencecah 27 ribu, manakala dalam proses permohonan permit, jumlah anggaran penonton hanya sekitar 3 ribu orang.
Festival Muzik Berdendang Bergoyang telah berlangsung selama dua hari pada 28 hingga 29 Oktober lalu di Stadium Istora Senoyan, Jakarta Pusat.
Acara dihadiri 21,000 pengunjung itu dihentikan pada hari kedua apabila pihak polis membatalkan permit kerana berpotensi membahayakan keselamatan penonton. Mereka menerima laporan mengenai pengunjung yang pengsan kerana sesak nafas.
Lautan manusia memenuhi stadium dengan semua mereka bersesak tanpa penjarakan fizikal. Ada antara mereka yang duduk di balkoni pintu masuk serta yang lain kelihatan berada dalam kepanasan.
Polis Jakarta Pusat masih menjalankan siasatan terhadap kes tersebut. Mereka mendapati terdapat dakwaan pelanggaran jenayah membabitkan Perkara 360 Kanun Jenayah. – Agensi