KUALA LUMPUR – Atlet Perlis, Nur Arisya Nabila Adi Fazril menanam impian untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa mengikut jejak dua idolanya, Datuk Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.
Pelari jarak jauh berusia 15 tahun itu memulakan kariernya pada landasan tepat selepas meraih pingat emas 1,500 meter (m) T20 (masalah pembelajaran) pada Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 hari ini.
Nur Arisya yang membuat penampilan pertama pada edisi kali ini, mencetak masa enam minit 16 saat (s) pada aksi final di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil itu.
Menurutnya, kejayaan Latif dan Ridzuan Puzi yang lebih mesra disapa Dikwan, menjadi sumber inspirasinya untuk menempa kejayaan pada Para Sukma 2022.
“Dari kecil lagi minat ALatif dan Dikwan. Mereka berdua juga dari negeri saya (Perlis) dan kalau boleh nak jadi macam mereka mewakili Malaysia.
“Kali pertama beraksi di pentas Para Sukma sememangnya agak gugup tetapi Alhamdulillah saya berjaya tamatkan larian di tempat pertama,” kata pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kangar itu.
Pingat perak acara itu menjadi milik pelari Johor, Siti Nor Insyirah Mohamad Ariffin dengan masa 6:21.66s, manakala gangsa dimenangi Siti Zainab Haron dari Kelantan (6:24.91s).
Sebagai rekod, Latif adalah juara dua kali Sukan Paralimpik acara lompat jauh T20 pada edisi Rio 2016 dan Tokyo 2020, manakala Ridzuan juga pernah meraih pingat emas 100m T36 (cerebral palsy) Rio 2016. – KOSMO! ONLINE