fbpx

Manchester United pilih jalan sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GARNACHO (tengah) meledak gol tunggal perlawanan ketika United menewaskan Sociedad, namun belum cukup untuk meletakkan mereka sebagai juara kumpulan. – AFP

SAN SEBASTIAN – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mengakui pasukannya bagai ‘menempah maut’ selepas gagal menduduki carta teratas peringkat kumpulan Liga Europa meskipun menang 1-0 ke atas Real Sociedad pada aksi terakhir awal pagi semalam.

Pada perlawanan di Stadium Anoeta itu, skuad The Red De­vils meraih kemenangan hasil jaringan tunggal pemain muda Argentina, Alejandro Garnacho, tetapi masih belum cukup untuk memintas kedudukan Sociedad selaku juara Kumpulan E kali ini.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan United bakal bertemu dengan pasukan gergasi yang tersingkir daripada kempen Liga Juara-Juara seperti Barcelona, Juventus atau Ajax Amsterdam pada sesi undian playoff yang berlangsung pada Isnin depan.

Kata Ten Hag, pasukannya tidak bernasib baik apabila terpaksa berpuas hati dengan kedudukan naib juara selain menyifatkan kekalahan kepada Sociedad pada aksi pertama di Old Trafford pada September lepas sebagai punca utama kegagalan tersebut.

“Saya rasa kami tidak berhak menamatkan saingan di kedudukan naib juara dan kalau dilihat pertemuan di Old Trafford, mereka meraih kemenangan hasil penalti yang sepatutnya tidak diberikan.

“Namun, inilah lumrah yang perlu diterima dan tunggu sahaja undian playoff nanti,” katanya.

Sementara itu, Ten Hag turut memuji impak yang diberikan oleh Garnacho yang menggunakan peluang diberikan untuk berada dalam kesebelasan utama sebaiknya.

“Garnacho menunjukkan kematangan di atas padang dan sudah tentu kehadirannya memberikan dimensi berbeza di posisi serangan terutama apabila pasukan kehilangan khidmat pemain utama seperti Antony, Anthony Martial dan Jadon Sancho yang mengalami kecederaan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI