SEOUL – Korea Utara melepaskan sejumlah bedilan artileri (roket dan meriam) selama semalaman yang mengenai ‘zon penampan’, kata tentera Korea Selatan semalam.
Perkembangan itu berlaku selepas Pyongyang melancarkan paling banyak misil termasuk ujian misil balistik antara benua yang gagal, minggu ini.
Seoul dan Washington yang memberi amaran bahawa pelancaran misil Korea Utara akan diakhiri dengan ujian senjata nuklear, bertindak melanjutkan latihan udara bersama sehingga hari ini. Ia sebagai tindak balas terhadap pelancaran misil Pyongyang.
Tidak lama selepas keputusan itu diumumkan kelmarin, Pyongyang melancarkan tiga misil balistik jarak dekat dan berkata, keputusan Amerika Syarikat dan Korea Selatan itu adalah pilihan yang salah.
“Sekitar 80 das tembakan artileri dilepaskan oleh tentera Korea Utara bermula pukul 11.28 malam (waktu tempatan) dengan tembakan mengenai zon penampan maritim,” kata tentera Korea Selatan.
Bedilan artileri itu berlaku semasa tempoh berkabung di Korea Selatan bagi memperingati 150 korban insiden rempuhan di Itaewon Sabtu lalu.
“Bedilan artileri ini melanggar perjanjian 2018 yang mewujudkan sebuah zon penampan bagi mengurangkan ketegangan antara kedua-dua pihak,” kata Ketua-Ketua Staf Bersama Seoul.
Pyongyang membedil kira-kira 30 peluru berpandu pada Rabu dan Khamis lepas, termasuk sebuah misil jatuh berhampiran perairan Korea Selatan sekali gus yang pertama sejak Perang Korea berakhir pada tahun 1953.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Yoon Suk-yeol menyifatkan bedilan Pyongyang itu sebagai pencerobohan ke atas wilayah Korea Selatan. – AFP