KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) terus fokus kepada usaha ‘menyapu bersih’ trofi Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan meraih keputusan positif pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia bertemu Kelantan FC malam ini.
Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan telah mengharungi musim gemilang dengan menjulang tiga trofi pada saingan Liga M tahun ini seperti Piala Sumbangsih, Piala FA dan turut berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan.
Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglia menyeru agar barisan pemain tidak terbuai dengan prestasi semasa, sebaliknya terus fokus dalam usaha mencipta sejarah pada pertembungan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu nanti.
“Saya sentiasa menekankan kepada pasukan bahawa setiap perlawanan penting tidak kira kelab mana yang kita hadapi dan sudah tentu tumpuan harus diberikan pada satu aksi ke satu aksi.
“Apa yang penting, saya mahu pasukan fokus kepada prestasi sendiri berbanding memikirkan tentang kelab lawan.
“Selain itu, masih ada penambahbaikan yang perlu pasukan pamerkan di atas padang terutama dari segi penguasaan dan hantaran bola yang perlu dilakukan lebih pantas,” kata pengendali import dari Argentina itu.
Sementara itu, Bidoglio turut memberi bayangan bahawa tonggak naturalisasi Indonesia, Jordi Amat mungkin akan diberikan peranan selepas berada dalam skuad utama buat kali pertama dalam kempen Liga M musim ini.
“Amat adalah pemain yang penting dan dia cukup profesional serta bersedia membantu pasukan ketika diperlukan. Namun, saya masih belum memikirkan tentang kesebelasan pada perlawanan seterusnya,” katanya.
JDT kini memburu trofi Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2019 selepas terpaksa berpuas hati selaku naib juara apabila tewas 0-2 kepada KL City di pentas final tahun lalu.