LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui agak resah dengan status kecederaan tonggak pertahanan berpengaruh, Takehiro Tomiyasu yang terpaksa dikeluarkan ketika menyaksikan pasukan menewaskan FC Zurich 1-0 pada perlawanan Liga Europa awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, The Gunners berjaya mengesahkan status selaku juara Kumpulan A dengan meraih tiga mata berharga hasil ledakan yang dilakukan oleh pemain bek kiri, Kieran Tierney pada babak pertama.
Menurut Arteta, kemungkinan besar Tomiyasu bakal diketepikan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Chelsea pada malam esok, tetapi segalanya bergantung kepada laporan pegawai perubatan.
“Buat masa ini saya tidak tahu sama ada kecederaan yang dialami Tomiyasu serius atau sebaliknya kerana dia mengalami kekejangan otot dan saya tidak mahu mengambil risiko sekali gus terpaksa mengeluarkannya.
“Saya harap laporan yang bakal diterima nanti memberi khabar positif kerana kita akan mengharungi perlawanan penting selepas ini (bertemu Chelsea),” katanya.
Sementara itu, pengendali kelahiran Sepanyol itu enggan mengkritik penyerang utama, Gabriel Jesus yang masih gagal menjaringkan gol buat pasukan meskipun diberi peranan selaku kapten pada aksi kali ini.
“Saya lihat Jesus sering tidak bernasib baik ketika memiliki peluang keemasan, tetapi corak permainannya lebih daripada sekadar memburu gol peribadi kerana dia cukup rajin membantu pasukan. Lebih penting, dia juga bijak mencipta jaringan buat pemain-pemain kami yang lain biarpun dia tidak berjaya meledak gol,” katanya. – AGENSI