fbpx

Imran Khan tuduh PM Pakistan dalang konspirasi membunuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imran menyampaikan ucapan di hadapan para penyokongnya ketika perarakan antikerajaan di Gujranwala, 1 November lalu. – AFP

ISLAMABAD – Bekas perdana menteri, Imran Khan menuduh Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menjadi dalang di sebalik konspirasi untuk membunuhnya selepas beliau ditembak semasa mengetuai satu perarakan politik kelmarin, lapor akhbar The Sun.

Beberapa rakaman video memaparkan detik tembakan disasarkan ke arah pemimpin  itu. Salah satu rakaman menunjukkan peluru yang mengenai kaki Imran.

Imran, 70, sedang memberikan ucapan di bandar Wazirabad, timur Pakistan, apabila seorang penyerang melepaskan tembakan.

Beliau dikejarkan ke hospital dalam insiden yang disifatkan oleh seorang pembantunya sebagai cubaan jelas untuk membunuh pemimpin tersebut.

Seorang lagi pembantu Imran, Asad Umar berkata, bekas perdana menteri itu percaya bahawa Shehbaz dan pegawai risikan, Mejar Jeneral Faisal Naseer bertanggungjawab di sebalik insiden tersebut.

Asad bagaimanapun tidak menyertakan sebarang bukti bagi menyokong tuduhan ke atas Shehbaz. Perdana Menteri berkenaan turut menyelar insiden itu.

Sayap media tentera Pakistan juga tidak memberikan sebarang maklum balas  ketika diminta mengulas  tuduhan tersebut.

Imran sebelum ini menuduh pihak tentera sebagai menyokong rancangan untuk menyingkirkannya namun, tuduhan tersebut disangkal oleh tentera Pakistan.

Sementara itu,  Fawad Chaudhry yang merupakan jurucakap parti pimpinan Imran, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) berkata, insiden tersebut jelas merupakan percubaan untuk membunuh Imran.

“Imran ditembak namun, beliau berada dalam keadaan stabil. 

“Sekiranya penembak tersebut tidak diberkas  oleh orang ramai, seluruh kepimpinan PTI akan turut menjadi korban,” ujarnya.

Kata Fawad, terdapat seorang lelaki berdiri di hadapan kontena yang menjadi tempat Imran bermemberikan ucapan sambil memegang pistol automatik.

“Dia (suspek) melepaskan tembakan. Semua yang berdiri di barisan hadapan turut terkena  tembakan,” kata Fawad.

Tambahnya, orang ramai cuba merampas pistol daripada suspek.

“Ketika pergelutan itu, penyerang terlepas sasarannya. Terdapat banyak darah pada kontena,” kata Fawad.

Imran kemudian dilihat berjalan dalam keadaan berjengket serta kakinya berbalut sambil melambai ke arah penyokongnya sebelum dibawa menaiki ambulans ketika beberapa pembantunya cuba meredakan suasana yang bertukar kecoh.

Tidak lama selepas itu, sebuah klip video yang didedahkan memaparkan penyerang terbabit membuat pengakuan sambil berkata: “Saya datang untuk membunuh Imran Khan.”

Suspek yang dikenali sebagai M Naveed dari Sodhra, Wazirabad, ditahan bersama sepucuk pistol  9 milimeter dan dua kelopak peluru kosong.

Meskipun laporan awal memberitahu bahawa terdapat dua penyerang, suspek mendakwa, dia bertindak sendirian dan hanya menyasarkan bekas Perdana Menteri Pakistan itu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI