PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menganjurkan Festival Seni Hidup @Living Arts Cultural Festival (LACF) bertempat di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.
Penganjuran festival menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) berlangsung selama tiga hari sehingga esok menghimpunkan kesenian yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Ketua Setiausaha MOTAC, Saraya Arbi berkata, penganjuran program ini memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan sejajar dengan teras tiga Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), iaitu memfokuskan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya.
Jelas beliau, LACF turut mengangkat enam kesenian yang tersenarai di bawah UNESCO seperti silat, songket, tango, opera Cina Kun Qu, Longquan Celadon dan Kumiodori.
“Selain persembahan kesenian, penonton juga telah disajikan sebuah dokumentari khas ‘Longquan Celadon’ dengan kerjasama Zhejiang Provincial Department of Culture and Tourism China.
“Manakala, program berbentuk keilmuan pula seperti intelek seni, bengkel asas seni kaligrafi khat, bengkel asas tatarias opera Cina dan pelbagai lagi, dokumentari pemainan tradisional serta program bual bicara,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Saraya berkata, penganjuran itu juga adalah sebagai usaha untuk memastikan kelangsungan seni budaya dalam memperkasakan pemuliharaan khazanah negara.
“Selain itu, kerjasama serampang dua mata bagi memperkenalkan keindahan warisan tidak
ketara dari pelbagai negara juga menjadi satu titik tolak memperkukuhkan persahabatan serta kerjasama strategik dalam seni budaya,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE