MANCHESTER – Penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini, Erling Haaland dijangka berada dalam kesebelasan utama Manchester City menjelang pertemuan menentang Fulham di Stadium Etihad malam ini.
Selepas diketepikan dalam dua perlawanan terdahulu menentang Leicester City dan Sevilla, pemain antarabangsa Norway itu dilaporkan sudah cergas dan sedia untuk kembali mengetuai jentera serangan The Citizens.
Pengurus City, Pep Guardiola juga optimis beliau dapat menggunakan khidmat Haaland pada perlawanan minggu ini selepas menerima laporan perubatan yang mengatakan penggempur utamanya itu semakin cergas.
“Berdasarkan laporan yang saya terima, kondisi Haaland bertambah baik jika dibandingkan dengan keadaannya minggu lalu walaupun belum pulih 100 peratus daripada kecederaan yang dialami.
“Dia direhatkan dalam dua perlawanan sebelum ini kerana saya tidak mahu ambil risiko. Saya harap dia akan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan menentang Fulham kerana keadaannya bertambah baik setiap hari,” kata jurulatih dari Sepanyol itu.
Sementara itu, Guardiola turut memaklumkan, pemain tengah England, Kalvin Phillips mungkin terus direhatkan walaupun tidak beraksi sejak 14 September lalu bagi memastikan dia benar-benar pulih sebelum saingan Piala Dunia 2022.
“Dia (Phillips) ada mengikuti latihan ringan bersama pasukan, tetapi saya tidak pasti mengenai perkembangannya. Saya tahu Piala Dunia sangat penting untuk semua pemain, tetapi saya tidak mahu ambil risiko dengan menurunkannya,” ujar beliau. – AGENSI