LONDON – Penjaga gol Fulham, Bernd Leno menggesa rakan sepasukan supaya percaya dengan kemampuan diri untuk mengejutkan Manchester City pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Etihad malam ini.
The Whites tidak pernah menang ke atas City sejak menewaskan pasukan itu 3-1 pada April 2009 menerusi dua jaringan Clint Dempsey dan Dickson Etuhu, manakala gol City dijaringkan Stephen Ireland.
Walaupun City akan turun sebagai pasukan pilihan pada perlawanan tersebut, namun Leno percaya, Fulham tidak boleh dipandang rendah, lebih-lebih lagi mereka mencatat dua kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir.
“Saya harapkan kerja keras daripada rakan sepasukan. Kami perlu ‘menderita’ pada perlawanan tersebut kerana saya yakin mereka (City) akan menguasai perlawanan dengan banyak memegang bola.
“Kami tidak rugi apa-apa kerana tidak ada seorang pun yang jangka Fulham menang. Bagaimanapun, inilah peluang kami untuk lakar kejutan ke atas mereka dan dapatkan sesuatu,” katanya.
Bekas penjaga gol Arsenal itu turut menyuarakan, dia bersedia untuk berdepan penyerang City, Erling Haaland sekiranya pemain antarabangsa Norway itu berada dalam kesebelasan utama The Citizens.
“Sudah tentu kami perlu bersedia sepenuhnya jika dia (Haaland) bermain pada perlawanan itu nanti. Kami semua tahu dia sangat berbahaya kerana memiliki kemampuan untuk menjaringkan gol dalam apa situasi sekali pun,” ujar Leno. – AGENSI