PETALING JAYA – Ramalan monsun Timur Laut yang bakal bermula pertengahan November ini dan fenomena La Nina juga dijangka berterusan sehingga awal tahun hadapan bakal mencetuskan risiko banjir di Malaysia.
Apatah lagi, kekerapan hujan lebat boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan-kawasan tertentu di negara ini, lantas membuatkan orang ramai perlu bersiap siaga menghadapi banjir.
Prihatin dengan bencana alam itu, Zurich Malaysia (Zurich) menggesa orang ramai agar membuat persiapan sebelum banjir bagi membendung kerugian dan melindungi keselamatan insan tersayang.
“Ada beberapa perkara penting yang boleh dilakukan terlebih dahulu untuk membuat persediaan menghadapi musim monsun.
“Paling utama adalah menyemak pelan perlindungan bagi memastikan liputan yang mencukupi untuk diri sendiri, orang tersayang dan termasuklah harta berharga,” kata Zurich menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.
Sehubungan itu, syarikat penyedia takaful dan insurans itu menyenaraikan persediaan awal menghadapi banjir sekiranya diarahkan berpindah.
Antaranya adalah menyediakan pek kecemasan yang mengandungi keperluan penting dan menyimpan telefon bimbit dalam beg plastik kedap udara agar kekal kering.
Orang ramai juga diminta menyediakan powerbank untuk mengecas telefon bimbit ketika ketiadaan bekalan elektrik dan pastikan dicas 100 peratus.
Selain itu, masukkan dokumen penting ke dalam beg kedap udara atau plastik yang bertutup rapi serta simpan kesemua nombor-nombor penting dalam telefon bimbit masing-masing.
Sementara itu, jika anda berada dalam situasi air yang semakin menaik sama ada di rumah atau di pejabat, kekal tenang dan jangan panik.
Selain itu, Zurich turut menyarankan antara perkara yang boleh dilakukan agar anda dan orang tersayang berada dalam keadaan selamat sewaktu kecemasan dengan pergi ke tempat lebih tinggi apabila air semakin naik dan letak peralatan elektronik serta berharga di tingkat atas.
“Pastikan dokumen penting di simpan dalam beg kedap udara bagi mengelakkan kerosakan akibat basah, tetapi periksa beg itu terlebih dahulu untuk memastikan tiada lubang.
“Justeru, adalah penting mendapatkan perlindungan untuk isi kandungan rumah bagi melindungi kerugian atau kerosakan terhadap barangan di dalam rumah,” ujar kenyataan itu.
Syarikat penyedia perlindungan insurans dan takaful itu juga mengingatkan orang ramai agar tidak memandu di kawasan banjir.
Jelasnya, air setinggi 15 sentimeter (sm) sudah cukup untuk membuat kereta anda terhenti, manakala air setinggi 30sm mampu menghanyutkan kenderaan.
Dalam pada itu, kejutan elektrik merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian ketika musim banjir bagi mengelakkan terjadinya kejutan elektrik melalui air.
Zurich mengingatkan orang ramai agar mencabut wayar peralatan elektrik dan tutup suis utama kerana tindakan itu turut membantu mencegah kebakaran atau letupan.
Juga diingatkan agar tidak menyentuh sebarang talian elektrik yang terjatuh dan sebarang masalah berkaitan elektrik, hubungi segera syarikat penyedia tenaga.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak bermain dengan air banjir kerana sangat berbahaya dan berisiko tinggi.
“Zurich mahu semua rakyat Malaysia kekal selamat,” jelas kenyataan itu lagi.
Orang ramai digalakkan mendapatkan maklumat penting dan terkini daripada penyedia insurans dan takaful melalui saluran rasmi atau hubungi ejen masing-masing.
Talian kecemasan dan nombor-nombor penting yang boleh disimpan adalah seperti 999 dan Bulan Sabit Merah Malaysia 03-2143 6122 / 03-2143 7122 / 03-2143 8122.