HAIFA – Jaringan pada masa kecederaan oleh Joao Mario menyaksikan Benfica berjaya melengkapkan malam gemilang membenam Maccabi Haifa 6-1 pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam, sekali gus muncul juara Kumpulan H memintas Paris Saint-Germain.
Benfica membuka tirai jaringan menerusi Goncalo Ramos pada babak pertama sebelum menambah empat lagi gol menerusi Petar Musa, Alex Grimaldo, Rafa Silva dan Henrique Araujo bagi membolehkan mereka terikat 14 mata bersama PSG.
Bagaimanapun, gol lewat permainan menerusi Mario menyaksikan Benfica muncul sebagai juara kumpulan apabila mereka memiliki kelebihan menerusi jumlah gol di tempat lawan biarpun memiliki mata dan perbezaan jaringan yang sama.
“Kami tidak memikirkan mengenai peluang muncul juara kumpulan.
“Saya bagaikan tidak percaya para pemain begitu menginginkan kejayaan menerusi jumlah jaringan ini,” kata Jurulatih Benfica, Roger Schmidt.
Kegagalan PSG untuk muncul juara kumpulan menyaksikan mereka mungkin terpaksa berdepan beberapa pasukan gergasi dari England seperti Chelsea, Manchester City dan Tottenham Hotspur pada undian untuk pusingan 16 pasukan terbaik nanti.
PSG berjaya menewaskan Juventus di Turin 2-1 dengan Nuno Mendes muncul wira meledak gol kemenangan selepas Kylian Mbappe membuka tirai jaringan sebelum disamakan oleh Leonardo Bonucci. – AGENSI