MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji penyerang, Julian Alvarez yang menampilkan aksi mengagumkan ketika membantu pasukan menang 3-1 ke atas Sevilla pada saingan Kumpulan Liga Juara-Juara di Etihad awal pagi semalam.
Pemain Argentina itu wajar diberikan pujian apabila dia menjaringkan satu gol selain melakukan dua umpanan bagi membantu Rico Lewis dan Riyad Mahrez mencetak nama sebagai penjaring ketika bintang sensasi City, Erling Haaland tidak disenaraikan.
Bagaimanapun, The Citizens terpaksa bangkit daripada ketinggalan 0-1 selepas pasukan pelawat membuka tirai jaringan menerusi Rafa Mir pada minit ke-34 meskipun City menguasai sepenuhnya permainan.
“Dia (Alvarez) melakukan dua umpanan pada perlawanan hari ini (semalam), jadi tidak ada seorang pemain pun yang tidak gembira dengan aksi yang dia tampilkan. Saya dan staf cukup terkesan dengan permainannya.
“Alvarez adalah seorang pemain yang cukup istimewa selain sangat rajin mengejar bola. Bagi saya, bukan mudah untuk seorang penyerang menjaringkan satu gol dan melakukan dua umpanan,” kata Guardiola.
Pada masa sama, bekas pengendali Barcelona itu memuji hantaran yang dilakukan pemain tengah, Kevin De Bruyne sebelum Alvarez menggunakan kepantasan untuk menewaskan penjaga gol Sevilla, Stefan Ortega.
“Hantaran daripada Kevin (De Bruyne) sangat luar biasa, namun Alvarez juga bijak mencari ruang bagi mendapatkan bola. Bukan mudah untuk menjaringkan gol menerusi larian seperti itu jika tidak ada kawalan bola yang baik,” ujarnya.– AGENSI