fbpx

Simbolik kebersatuan 20 tahun Unic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Konsert Reunic The Finale cukup istimewa apabila mengandingkan kesemua sembilan orang ahli yang pernah menganggotai Unic sepanjang 20 tahun penubuhan. – Ihsan UNIC

MENGIMBAU nostalgia dan cukup puas hati. Itulah emosi rata-rata peminat kumpulan nasyid popular Unic usai konsert Reunic The Finale di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu lalu menutup tirai.

Masakan tidak, sepanjang 20 tahun perjalanan muzik, inilah kali pertama mereka berjaya menghimpunkan kesemua sembilan personal yang pernah menjadi anggota Unic sejak awal penubuhan pada 2002 sehingga kini.

Mereka terdiri daripada Dr. Fitri Haris, Bazli, Fakhrul Radhi, Fadzli Aziz, Hafiz Hamidun, Wan Shah, Afendi, Azlan Al-Bukhary dan Wan Najdi.

Tidak hairanlah, dalam tempoh lima hari sahaja tiket konsert telah habis terjual. Unic bahkan terpaksa menambah volum konsert secara dalam talian dan ditayangkan sehari selepas konsert fizikal berlangsung.

“Alhamdulillah memang penuh, sekitar 1,200 penonton yang hadir pada konsert ini. Jika ikutkan, ini adalah konsert terakhir berjaya mengumpulkan sembilan orang anggota yang masih dan pernah menganggotai Unic.

“Bukan mudah untuk mengumpulkan kami semua anggota kerana masing-masing mempunyai komitmen.

“Tambahan pula konsert ini diadakan pada malam Maulidur Rasul, biasanya penyanyi nasyid sibuk dengan tawaran persembahan.

“Namun, mereka sanggup menolak tawaran pentas lain demi memberi komitmen kepada konsert ini. Semuanya sangat bersemangat demi Unic dan peminat,” kongsi Fitri.

Menyentuh tentang pemilihan 20 buah lagu daripada 18 buah album yang pernah dihasilkan Unic bukan satu hal yang mudah.

Menurut Fakhrul, dia bersama dua anggota Unic yang kekal aktif sehingga kini iaitu Bazli dan Fitri mengambil masa agak lama untuk menentukan senarai lagu.

“Kami harus memikirkan tuntutan peminat yang lama dan baharu agar persembahan seimbang. Oleh sebab itu, muncul idea untuk segmen perjalanan Unic, CUDIPT, bidadari dan sahabat.

“Banyak lagi lagu yang tidak dinyanyikan, jika mahu menyanyi semua harus buat konsert lain.

“Saya juga bersyukur kami berjaya memberi persembahan yang baik meskipun hanya mengadakan latihan sebanyak dua kali,” kata Fakhrul.

Konsert Reunic The Finale disifatkan cukup sukses bukan sahaja dari segi jualan tiket bahkan persembahan cemerlang repertoire secara keseluruhan.

Skala besar

Melihat konsert berskala besar ditambah dengan iringan muzik profesional, konsert Reunic The Finale meletakkan tanda aras tinggi buat konsert nasyid tempatan.

Biarpun bertunjangkan paksi kerohanian, Unic berjaya berdiri sebaris dengan penyanyi genre lain.

“Sebenarnya jika kita (artis nasyid) membuat persembahan, boleh sahaja berdiri dan duduk sebaris dengan penyanyi lain. Kita tidak merendahkan nasyid kerana tema kita adalah, demi kebangkitan nasyid.

“Jika kami tidak mula memilih lokasi seperti Zepp Kuala Lumpur, repertoire yang pelbagai orang pun tidak akan sangka persembahan nasyid sangat menghiburkan.

“Kami semua sudah berusia hampir 40 tahun, jadi kami mahu menarik peminat muda. Dengan persembahan seperti ini tidak mustahil industri nasyid akan melahirkan lebih ramai pelapis baharu,” kongsi Hafiz Hamidun.

Tambah Hafiz lagi, sambutan hangat peminat terhadap konsert Unic membuktikan industri nasyid tempatan memiliki pengikut yang ramai.

Hafiz berharap peminat akan terus memberikan sokongan kepada kumpulan nasyid lain yang turut mengadakan konsert berskala besar sepanjang November hingga hujung tahun nanti.

“Kami boleh dikira sebagai pemula acara, selepas ini akan ada lebih banyak konsert nasyid berskala besar daripada kumpulan Raihan, Inteam, Hijjaz dan Nazrey Johani.

“Sama-sama kita sokongan hiburan yang berbentuk mendidik jiwa,” tutur Hafiz.

KONSERT Reunic The Finale disifatkan cukup sukses bukan sahaja dari segi jualan tiket bahkan persembahan cemerlang repertoire secara keseluruhan.

Setengah juta

Sebagaimana peminat, setiap personal Unic juga menikmati momen konsert dengan seluruh jiwa.

Selain mengerah tenaga dan komitmen, mereka juga sanggup berhabis hampir setengah juta ringgit hanya untuk membikin sebuah konsert sebagai penghargaan kepada peminat.

“Kami amat berpuas hati dengan persembahan dan penonton. Bajet untuk konsert ini sahaja adalah sebanyak RM460,000, hampir setengah juta.

“Kos bukan murah kerana kualiti yang kami tampilkan daripada segi muzik, lokasi dan juga persembahan.

Penyampai radio Zayan, Anas Tahir (kiri) dan penyanyi Mawi turut memeriahkan pentas konsert dengan dendangan lagu masing- masing.

“Namun, konsert ini tidak akan berjaya tanpa bantuan daripada Geran Dana Kandungan Digital (DKD) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K- KOMM) dan penaja utama, Kumpulan Megaklinik Zahran,” ujar Fitri.

Selepas konsert fizikal dan konsert dalam talian, Unic merancang mengeluarkan sebuah filem pendek atau dokumentari yang mengandungi kisah belakang tabir pembikinan konsert Reunic The Finale.

“Kami akan cuba untuk menjual kisah belakang tabir pembikinan konsert ini dalam laman penstriman.

“Kami yakin peminat pasti ingin melihat perjalanan anggota Unic sebelum melakukan persembahan di atas pentas konsert,” kata Fitri lagi.

Berbicara tentang persembahan Reunic The Finale, sememangnya mereka berada di kelas tersendiri. Biarpun ada antara mereka yang sudah lama tidak mengadakan persembahan, namun vokal tetap utuh sama seperti dahulu.

Antara lagu yang didendangkan Unic adalah, Sebuah Pertemuan, Remaja, Ainul Mardhiah, Hanya Tuhan Yang Tahu, Balqis, Ke Makan Bonda, CUDIPT dan Jalinan.

Kemunculan Bell Ngasri dan Bienda benar-benar mengimbas memori zaman Unic muncul dengan telefilem See You di IPT pada 2003.

Sementara kehadiran dua penyampai radio Zayan iaitu Mawi dan Anas Tahir dengan bacaan selawat pada pembukaan konsert serta Zizi Kirana ternyata menyerikan lagi perjalanan konsert pada malam tersebut.

FITRI Haris (gambar) meneruskan perjuangan Unic bersama dua anggota lagi iaiti Bazli dan Fakhrul.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI