SYDNEY – Sejenis fenomena burung jatuh dari langit digelar Sindrom Lumpuh Lorikeet (LPS) mencetuskan tanda tanya dalam kalangan saintis kerana punca situasi tahunan yang berlaku antara Oktober hingga Jun itu sehingga kini masih gagal ditemui, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Doktor-doktor haiwan dan pakar ornitologi telah lama mengetahui mengenai sindrom tersebut namun, meskipun telah melakukan pelbagai usaha, punca penyakit itu kekal misteri.
Penyakit tersebut menjejaskan ribuan burung setiap tahun dengan banyak daripadanya mati akibat tidak dapat mencari makanan atau melarikan diri daripada pemangsa.
Kes-kes LPS telah mula dilaporkan di Australia sejak 1970, dan meskipun saintis-saintis berjaya menghapuskan beberapa kebarangkalian, mereka tidak tahu sebab sebenar keadaan itu berlaku.
“Kami menolak beberapa kemungkinan yang menjadi punca simptom tersebut termasuk toksin yang terhasil daripada pencemaran atau toksin daripada racun perosak.
“Kami juga tahu bahawa ia bukan sejenis penyakit berjangkit,” kata Profesor David Phalen daripada Fakulti Sains Veterinar Universiti Sydney.
Dalam tempoh beberapa tahun lalu, banyak teori diutarakan untuk cuba menyelesaikan misteri LPS namun, tiada satu pun yang berjaya disahkan.
Teori yang paling diterima ramai adalah LPS berpunca daripada sejenis tumbuhan yang dimakan burung nuri lorikeet ketika bulan Oktober hingga Jun.
Faktor penyakit bermusim dan keadaannya yang berlaku di beberapa wilayah di Australia menjadi penguat teori tersebut, namun setakat ini, tiada seorang pun yang dapat mengenal pasti jenis tumbuhan berkenaan.
Antara gejala LPS termasuk kegagalan untuk terbang, lumpuh semua anggota badan dan leher, lumpuh pada lidah, tidak dapat menelan dan mata gagal berkedip.
Sesetengah burung mati akibat gejala-gejala seperti tidak dapat makan, manakala ada yang mati dilanggar kenderaan mahupun dimakan pemangsa atau semut ketika jatuh dan tidak dapat bergerak di atas tanah. – Agensi