BANDAR RAYA NEW YORK – Satu kajian terbaharu mendapati suntikan ubat anti kedutan, Botox pada zakar berupaya merawat masalah mati pucuk dalam kalangan lelaki, lapor akhbar New York Post semalam.
Kajian diterbitkan dalam jurnal Urology itu adalah berdasarkan tujuh eksperimen berasingan antara Januari 1990 hingga Julai 2021.
Penyelidikan itu diketuai oleh pakar urologi, Dr. Rawad Abou Zahr. Beliau berkata, kajian menunjukkan Botox membantu ereksi ramai responden.
“Responden mendapat manfaat sepanjang tempoh tiga bulan selepas suntikan Botox dilakukan.
“Manfaat itu menurun selepas tempoh tersebut sehingga enam bulan kemudian,” katanya.
Tujuh kajian itu melibatkan 362 lelaki dengan mereka diberikan suntikan Botox atau plasebo pada pangkal zakar masing-masing.
Tahap keberkesanan suntikan Botox diukur menggunakan ‘skala ereksi’ yang menilai ketegangan dan kekuatan zakar pada skala sifar hingga empat.
Bagaimanapun, sebelum lelaki mati pucuk mencuba kaedah rawatan tersebut, pasukan penyelidik berkenaan berkata, kajian lanjut perlu dilakukan. – Agensi