MELAKA – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong berikrar menyelesaikan beberapa isu membabitkan nelayan dan petani jika pengundi memberi kepercayaan dan mandat semula kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden MCA itu berkata, dua perkara tersebut adalah sebahagian daripada isi kandungan manifesto yang akan diperincikan serta diumumkannya selepas sesi penamaan calon esok.
Ban Hong menegaskan, selain itu soal penyuraian trafik, pembangunan sektor pelancongan dan ekonomi setempat khususnya perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) turut menjadi tumpuannya.
“Saya akan melaksanakan semua ini jika diberi kepercayaan dan mandat oleh seluruh pengundi di Tangga Batu kerana visi, misi dan hala tuju adalah sejajar dengan polisi kerajaan negeri yang diterajui BN.
“Pelan pembangunan yang dirancang adalah untuk semua pihak tanpa mengira kaum kerana ini adalah janji manifesto yang akan saya umumkan sedikit masa lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Ujarnya, dia dilahirkan di Kampung Cheng di parlimen itu dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Cheng serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek Cheng.
“Ini adalah kampung halaman saya, saya dilahirkan dan membesar di sini, mengapa tidak saya diberi peluang berkhidmat di sini?.
“Rakyat perlu memilih BN kerana parti ini dapat memberikan perkhidmatan yang baik mencakupi seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan sokongan positif pengundi di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Udang, Klebang, Pantai Kundor dan Paya Rumput, beliau yakin BN mampu merampas kembali kerusi yang tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.
“Semalam saya berjalan di Pantai Kundor, Tanjung Minyak dan pagi ini di Sungai Udang serta Paya Rumput nampaknya pengundi memberi sokongan atas pemilihan saya bertanding di sini. Ini petanda positif bagi saya dan BN,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE