SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos menafikan dirinya telah dikenakan perintah kebankrapan sehingga hilang peluang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jamal berkata, dakwaan Teresa Kok prosiding kes kebankrapan telah pun bermula pada 30 Ogos lalu adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Katanya, ini kerana pengurusan kes pertama prosiding tersebut hanya dijalankan pada 30 November ini dengan peguam saya akan mencabar tindakan kebankrapan itu.
“Selagi perintah kebankrapan tidak dibuat mahkamah maka saya layak untuk bertanding dalam PRU15 ini.
“Oleh itu, gesaan Teresa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak percalonan saya adalah sama sekali pra matang dan sia-sia serta salah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jamal turut menegaskan tindakan penyandang Parlimen Seputeh itu juga adalah satu perbuatan terdesak sebagai cubaan untuk mengagalkannya dari menjadi calon pilihan raya.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu memberitahu, beliau dalam proses merayu ke Mahkamah Rayuan berkenaan ganti rugi yang diperoleh Teresa melalui penghakiman mahkamah tinggi pada 26 Julai lalu.
“Saya percaya rayuan tersebut adalah bermerit dan gantirugi yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi tersebut kelak akan dinilai serta dipertimbangkan semula selepas rayuannya didengar.
“Peguam saya juga telah memaklumkan kepada peguam Teresa mengenai serahan secara kendiri mereka kepada saya untuk notis kebankrapan agar dibuat pada 8 November ini,” katanya.
Teresa sebelum ini memohon SPR menolak pencalonan Jamal pada PRU15 ini.
Julai lalu, Teresa yang juga bekas Menteri Industri Utama, memperoleh ganti rugi RM300,000, selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Jamal atas dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS). – KOSMO! ONLINE