PUTRAJAYA – Orang ramai diingatkan agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan di kawasan tumpuan ramai sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, ia temasuklah semasa tiga tarikh penting yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu Hari Penamaan Calon pada 5 November, Hari Mengundi Awal pada 15 November dan Hari Pengundian pada 19 November.
“Larangan ini juga termasuk sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas Hari Penamaan Calon.
“Ini adalah untuk memastikan kelancaran PRU15 selain bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini terutamanya membabitkan aspek keselamatan dan sekuriti orang ramai khususnya para pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas CAAM, semua pengendalian aktiviti dron di Malaysia tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Civil Aviation Directives (CADs). – KOSMO! ONLINE