GUA MUSANG – Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan menjadi calon paling lama dalam Barisan Nasional (BN) dan memegang rekod paling lama sebagai Ahli Parlimen selama 12 penggal bukan satu kemegahan buat dirinya.
Menurut Tengku Razaleigh atau dikenali sebagai Ku Li, beliau menerima dengan terbuka keputusan yang dibuat oleh pucuk kepimpinan yang memberi ruang kepadanya terus berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Saya paling lama dalam rekod, tapi bukanlah satu kemegahan dan rakyat di sini masih perlukan saya malah dikehendaki bertanding semula. Terutama sekali Orang Asli, berkali-kali datang minta saya supaya jangan tarik diri jika ditawar untuk bertanding.
“Saya sendiri dah lama sangat dan patut beri jalan untuk orang lain. Barangkali ini adalah ‘last of the hurrah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohonan Bola Jaring Piala Ku Li di Bukit Cekati di sini hari ini.
Menurut Tengku Razaleigh, dia tidak menafikan banyak pelapis pemimpin muda di daerah ini.
Katanya, beliau turut menasihatkan pemimpin yang akan datang dapat mengutamakan kestabilan dan kebajikan rakyat di negeri ini.
Ku Li,85, bakal mengukuhkan statusnya sebagai wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini, selama lebih 10 penggal di peringkat Parlimen dan negeri, jika memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Beliau akan mempertahan kerusi itu yang pertama kali dimenanginya tanpa bertanding pada tahun 1974 yang ketika itu dikenali sebagai Ulu Kelantan. – KOSMO! ONLINE