PUTRAJAYA – Elak provokasi dan jaga sikap bagi memastikan proses penamaan calon di seluruh negara bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berjalan dengan lancar.
Itu nasihat diberikan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak menjelang Hari Penamaan Calon esok.
Ikmalrudin yang ditemui ketika meninjau Pusat Penamaan Calon (PPC) Parlimen Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 9, di sini hari ini berkata, barisan penyokong yang hadir juga perlu mematuhi arahan dikeluarkan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, SPR juga meminta semua parti, penyokong dan pencadang supaya patuh arahan serta mengelakkan daripada menimbulkan sebarang masalah.
“Secara amnya, persiapan proses penamaan calon di seluruh negara berjalan dengan lancar dan sedang giat dilaksanakan oleh petugas SPR,” katanya.
SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi PRU15 dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, manakala hari pengundian ditetapkan pada 19 November dan hari pengundian awal ialah pada 15 November ini.
Sebelum ini, Ikmalrudin dalam satu kenyataan sebelum ini menjelaskan, semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara turut dilarang pada hari penamaan calon dan ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Dalam pada itu katanya, kertas penamaan calon juga boleh diserahkan bermula pukul 9 pagi sehingga 10 pagi pada hari penamaan calon kepada Pegawai Pengurus (RO) di 222 PPC yang berkenaan. – KOSMO! ONLINE