KUALA NERANG – Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan bertenang seterusnya berusaha sedaya upaya memenangi kerusi Parlimen ditandingi kalangan pemimpin UMNO yang berpaling tadah selepas tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, BN akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kemenangan calonnya di kerusi terlibat.
“Insya-Allah kita cuba yang terbaik dan kita bawa bertenang. Ini kerana kita masih ada 14 hari lagi sehingga tiba hari mengundi nanti,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Guru-Guru KAFA serta Jawatankuasa Masjid Daerah Padang Terap serta Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di sini hari ini.
Kata beliau, tindakan pemimpin UMNO bertanding atas tiket parti atau gabungan lain tidak sepatutnya berlaku.
“Saya fikir ini satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku tetapi sudah ada yang berlaku. Jadi ada sesuatu yang tidak berapa menariklah sebab ada yang telah buat keputusan begitu drastik,” ujarnya.
Ketika ditanya berhubung tindakan yang akan diambil kepada pemimpin terlibat, kata beliau, ia sudah dinyatakan dalam perlembagaan parti.
“Kita tak fikir kerana kita fikir pilihan raya dulu, kemudian kita fikir. Namun sekarang dia tidak peduli dah tajuk itu termasuk keahlian dia.
“Saya tengok dah jadi keluarga 69, yang sebelah sana macam itu, sebelah sini macam itu juga. Saya ingat zaman sudah berubah.
“Betullah orang kata politik itu sangat dinamik, memang dinamik sungguhlah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE