fbpx

PRU15: 77 lokasi panas di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arjunaidi (tiga kiri) pada sidang akhbar PRU15 di IPK Selangor, hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Polis mengenal pasti 77 lokasi panas di sekitar Selangor sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ini berikutan lokasi tersebut mudah berlakunya kekecohan disebabkan faktor-faktor sensitif.

Katanya, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan bagi  memastikan tiada pihak membuat kacau ganggu sepanjang proses PRU15 termasuk dalam tempoh penamaan calon, kempen, hari mengundi serta pasca PRU.

“Tiada pengecualian terhadap mana-mana pihak dengan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan lunas undang-undang.

“Ini termasuk mengikut Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya pada sidang akhbar PRU15 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Beliau menegaskan polis turut memberikan tumpuan terhadap lima kerusi panas Parlimen yang dijangka berlaku persaingan sengit antara parti bertanding.

Ujarnya, ini meliputi Sabak Bernam, Sungai Besar, Kuala Selangor, Gombak dan Sungai Buloh.

“Kerusi bagi ‘heavyweight pula melibatkan Gombak, Shah Alam, Sungai Buloh, Ampang, Pandan, Kuala Selangor serta Sepang.

“Justeru, seramai 4,956 polis akan ditempatkan bagi tugasan di pusat penamaan calon esok,” katanya.

Tambah beliau, secara keseluruhan sejumlah 13,836 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di lokasi seperti pusat mengundi, saluran, pusat penjumlahan undi dan kawalan keselamatan semasa hari pengundian pada 19 November ini.

Arjunaidi turut memaklumkan berlaku penutupan jalan-jalan kecil di sekitar pusat penamaan calon esok di Petaling Jaya, Klang Utara, Shah Alam, Kajang, Gombak, Hulu Selangor, Ampang Jaya, Sungai Buloh dan Sabak Bernam.

“Manakala penutupan jalan utama adalah melibatkan dua daerah iaitu bagi Gombak di Jalan Persiaran 3, Bandar Baru Selayang, Lorong Sekolah SMK Sg Pusu.

“Bagi Petaling Jaya pula adalah Jalan Yong Shook Lin berhadapan IJM hingga menara Choy Fook Onn, Jalan 52/18 -Texas hingga Restoran Ajmeer dan
Jalan Lebuh Bandar Utama,” kataya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai tidak menerbangkan drone di kawasan tidak dibenarkan sepanjang tempoh penamaan calon berlangsung.

Penyokong parti yang berarak menaiki kenderaan juga diingatkan untuk mematuhi peraturan lalu lintas seperti penggunaan topi keledar bagi mengelak tindakan kompaun diambil.

“Setakat hari ini, terdapat satu laporan di Petaling Jaya mengaitkan satu parti yang menjalankan kempen. Kes disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI