BANGKOK – Kira-kira 800 pemandu Grab memakai jaket hijau berkumpul di kota raya Bangkok, semalam bagi memprotes polisi baharu dilaksanakan syarikat teknologi itu yang dikatakan telah mengurangkan pendapatan mereka secara signifikan, lapor laman berita Thaiger.
Protes tersebut bermula di luar pusat beli-belah Central World sebelum bergerak ke ibu pejabat Grab Thailand sehingga menghalang lalu lintas di Jalan Phetchaburi.
Grab Thailand baru-baru ini memperkenalkan ‘sistem zoning’ yang meminta pemandu untuk menempah slot masa dan kawasan mereka ingin bekerja sebelum memulakan syif kerja.
Ia membuatkan ramai pemandu terpaksa bersaing bagi mendapatkan slot sekali gus bermaksud pemandu tidak boleh lagi bekerja pada bila-bila masa yang mereka mahu. Ia sebelum ini menjadi manfaat bekerja yang dibanggakan syarikat Grab.
Menerusi sistem itu juga, pemandu tidak dapat menjana pendapatan sekiranya semua slot masa telah ditempah.
Justeru, pemandu melakukan protes bagi mendesak tiga permintaan iaitu membatalkan sistem zoning, menghapuskan sistem pelbagai pesanan dalam satu perjalanan serta melaksanakan semula yuran penghantaran seperti sebelum ini selepas ia dikurangkan sebanyak 2 hingga 4 baht (RM0.25 sen hingga RM0.50 sen) bagi setiap penghantaran.
Peserta protes berkata, mereka tidak akan berundur selagi eksekutif-eksekutif kanan Grab tidak keluar dan berbincang dan setakat pukul 2 petang (waktu tempatan), pihak pengurusan masih tidak muncul.
Pada pukul 3 petang (waktu tempatan), akhirnya wakil syarikat itu keluar dan meminta mereka diberi masa 15 hari untuk menimbangkan permintaan para pemandu.
Grab Thailand kemudian mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa mereka akan memberi respons kepada semua perkara yang menjadi kebimbangan pemandu dalam masa 14 hari. – Agensi