MENGIKHLASKAN hati untuk membesarkan ramai anak angkat bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan oleh semua orang.
Namun tidak bagi Norlina Alawi, apabila dia sanggup menjaga anak-anak angkat iaitu kanak-kanak kurang bernasib baik termasuk yang menghidap HIV/AIDS yang dipanggilnya sebagai anak-anak anugerah.
“Kira-kira 21 tahun lalu, saya menerima seorang bayi lelaki yang memerlukan susu ibu daripada salah seorang kenalan.
“Ketika itu, saya sudah mempunyai lima orang anak. Namun, kerana kasihan melihat bayi itu, saya minta izin bekas suami untuk mengandung lagi.
“Alhamdulillah, sembilan bulan selepas itu saya berpeluang menyusukan bayi sendiri dan bayi lelaki berkenaan,” katanya.
Tambahnya, selepas peristiwa itu, dia terbuka hati untuk menerima lebih ramai anak-anak anugerah termasuk yang menghidap HIV/AIDS untuk dipelihara di rumahnya sendiri.
Bertitik tolak daripada itu juga, Norlina telah menubuhkan Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim) sejak 18 tahun lalu.
Baru-baru ini, pihaknya telah mengadakan majlis ulang tahun Pernim serta melancarkan buku autobiografi, Aku Seorang Norlina Alawi.
Norlina berkata, majlis tersebut diadakan bertujuan untuk memperingati penubuhan persatuan yang diterajuinya itu.
Jelasnya, majlis tersebut juga menghimpunkan semula anak-anak anugerah yang pernah dipelihara dan tinggal di bawah jagaan Pernim.
“Hampir 21 tahun saya memelihara anak-anak yatim, anak tidak sah taraf, anak-anak mualaf, anak-anak terbiar tanpa latar belakang.
“Saya angkat darjat mereka ini menjadi anak angkat yang sah dengan menggelarkan mereka sebagai anak-anak anugerah.
“Apabila mereka telah dewasa, ada yang hidup berdikari, keluar bekerja, berkahwin serta membina rumah tangga sendiri.
“Bagaimanapun, ikatan mereka dengan saya dan adik-beradik lain tetap utuh serta tidak putus silaturahim. Ikatan kekeluargaan seperti ahli keluarga kandung ini akan terus terpelihara dan berkekalan,” jelasnya.
Mengulas tentang buku autobiografi Aku Seorang Norlina Alawi, dia memaklumkan, ia ditulis oleh novelis terkenal, Lily Haslina Nasir.
Katanya, naskhah berkenaan mengangkat kisah perjuangan Norlina sejak kecil sewaktu menyaksikan ibu bapanya membantu orang-orang kampung yang memerlukan bantuan.
“Kedua-dua arwah ibu bapa saya merupakan idola yang menjadikan saya seperti hari ini. Kisah suka duka menjadi anak gadis yang dibesarkan di kampung bersama sembilan adik-beradik turut saya terjemahkan dalam buku ini,” katanya
Menurutnya, penghasilan buku tersebut diharap dapat melahirkan lebih ramai klon Norlina yang mempunyai rasa cinta sesama insan tanpa sempadan.
Sehingga hari ini, Norlina dikurniakan dengan tujuh anak kandung dan hampir 100 anak-anak anugerah.
Sebahagiannya masih tinggal bersamanya dan ada yang sedang bersekolah serta melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi
Sebagai seorang ibu yang mempunyai anak anugerah yang ramai, dia menganggap usahanya itu adalah fardu kifayah untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut.
“Jika setiap daripada keluarga di negara ini menerima seorang anak anugerah untuk dipelihara, pasti kita menjadi rakyat yang lebih prihatin dan berjaya.
“Saya berharap anak-anak anugerah ini terus mendapat perlindungan daripada kita semua,” jelasnya.
Selepas 18 tahun penubuhan Pernim, Norlina telah kehilangan empat anak anugerah yang telah meninggal dunia akibat HIV/AIDS.
Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk berbakti kepada mereka sehingga hujung nyawa.
“Saya tidak membezakan layanan antara anak kandung dan anak anugerah.
“Ini kerana mereka berkongsi makan minum, tidur sebantal, pergi dan balik sekolah juga bersama. Semua itu saya kongsikan dalam buku ini,” katanya.