KUANTAN – Sudah beroperasi selama 35 tahun, Warung Mazenah yang terletak di bandar raya ini terus menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat dengan tarikan hidangan popularnya iaitu nasi kukus.
Lebih menarik, menu yang disajikan khusus dengan ayam berempah itu turut mendapat perhatian penduduk di daerah berdekatan seperti Rompin dan Pekan serta luar negeri.
Bermula sejak 1987, pemilik kedai makan tersebut Mazenah Awang, 63, bagaimanapun hanya bermula secara kecil-kecilan dengan menjual nasi putih dan lauk pauk.
Beliau kemudian berjaya mengembangkan perniagaannya dengan membuka sebuah lagi cawangan di jalan Teluk Sisek di sini.
Seperti perumpamaan, ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’, Mazenah sekali gus membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil untuk maju di dalam perniagaan.
Dalam pada itu, menceritakan idea yang membawanya kepada menu nasi kukus, Mazenah berkata, ia tercetus selepas beliau menikmati hidangan tersebut di Kelantan sebelum cuba mencipta resepi sendiri.
“Bagaimanapun, pada awalnya ia tidak seperti yang dijangkakan apabila dua puluh ekor ayam tidak habis dijual.
“Namun lama kelamaan nasi kukus ini kian mendapat sambutan bukan sahaja dari Kuantan, malah di daerah lain seperti Rompin, Pekan dan Maran serta luar Pahang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Mazenah berkata, selain ayam goreng berempah, pelanggan juga boleh memilih lauk lain seperti ikan bawal goreng berempah, puyuh goreng berempah, kari kambing, gulai kawah dan kerutuk daging.
“Kebiasaannya orang ramai gemar memilih ayam berempah, namun di warung ini kita berikan variasi kepada orang ramai. Ini juga salah satu tarikan yang kita ada,” ujarnya.
Sementara itu, di cawangan kedua, Mazenah berkata, beliau memberikan sedikit kelainan pada menu apabila meletakkan hidangan ‘Shellout’ selain nasi kukus.
Menu Shellout juga popular yang mana resepinya didatangkan khas dari Thailand dan diolah semula supaya bersesuaian dengan cita rasa masyarakat Malaysia.
“Terima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh pelanggan untuk menikmati nasi kukus serta makanan di sini,” ucap Mazenah.
Mazenah menambah, beliau juga sangat bersyukur dan berterima kasih di atas bantuan dan sokongan yang diberikan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
“Alhamdulillah kerana AIM, saya dapat mengembangkan perniagaan saya selain dapat membantu orang lain.,” katanya.
Kepada yang ingin merasai hidangan nasi kukus popular boleh berkunjung ke Warung Mazenah di Jalan Beserah dan Teluk Sisek.
Selain itu, bagi yang berminat untuk mencuba menu enak hidangan lain seperti mi celup ala Thai, mi kari, nasi air dan pelbagai hidangan roti bakar serta kuih muih, boleh menghubungi beliau di talian 019-916 4559 .
Maklumat lain boleh didapati di media sosial Facebook, Warung Mazenah dan Instagram, warungmazenahofficial. -KOSMO! ONLINE