PETALING JAYA – MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menambah lebih baik perkhidmatan sedia adanya bagi memenuhi permintaan pelanggan apabila membuka operasi perbankan di tiga cawangannya pada dua hari Sabtu bulan November ini.
Cawangan MBSB yang akan dibuka pada 5 November dan 26 November ini adalah di PJ Sentral, Pulau Pinang dan juga Johor Bahru.
Perbankan hujung minggu ini terbuka kepada pelanggan untuk melaksanakan aktiviti perbankan seperti membuka akaun simpanan, pembiayaan, takaful dan permohonan debit kad.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Datuk Nor Azam M Taib berkata, sebagai institusi kewangan, pihak bank perlu sentiasa mengkaji dan menambah baik perkhidmatan di cawangan bagi memenuhi kehendak perbankan pelanggan.
“Kami berbesar hati untuk memenuhi tanggungjawab beroperasi pada hujung minggu. Kami berharap pelanggan akan dapat memanfaatkan peluang ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Sementara itu, beliau menggalakkan orang ramai menyertai kempen MBSB Bank’s ‘Simpan Berganda Menang Bergaya CASA-i’ yang akan berakhir pada Mei 2023.
Kempen tersebut menawarkan hadiah bernilai RM2.4 juta meliputi hadiah pakej pelancongan atau umrah, kereta mewah berupa Mercedes Benz A 200 Progressive Line, Mercedes Benz C 200 Avantgarde Line, Mercedes Benz GLC 300e Coupe, emas, iPhone, wang tunai dan pelbagai lagi. -KOSMO! ONLINE