MELAKA – Mayat kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Puteri, di Tanjung Kling di sini ditemui Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ayer Keroh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, mayat Amirul Asyraff Fakhrul, 6, ditemukan pada pukul 6.22 petang pada jarak 30 meter daripada pesisiran pantai.
“Panggilan kecemasan telah diterima pada pukul 3.43 petang dan seramai 17 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu serta 12 PPDA Ayer Keroh telah ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mayat mangsa berjaya ditemui pada pukul 6.22 petang dalam keadaan terlentang di atas pasir pada jarak 30 meter dari pesisiran pantai,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit yang turut berada di lokasi memberitahu, mangsa dikatakan telah mandi-manda di tepi pantai tersebut bersama sepupunya sebelum lemas.
“Mereka sebenarnya berempat dan bermain bersama-sama selepas selesai menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.
“Dua kanak-kanak bagaimanapun telah pulang ke rumah, namun mangsa serta sepupunya telah ke pantai dan menurut saksi mangsa bertindak terjun dari tembok batu beberapa kali sebelum akhirnya lemas,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Terdahulu, turut terlibat sama dalam operasi SAR itu adalah pasukan Maritim Malaysia dan nelayan. – KOSMO! ONLINE