PUTRAJAYA – Seorang pengundi kawasan Parlimen Pandan tidak dibenar menangguhkan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bermula dengan penamaan calon esok, selepas permohonannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan hari ini.
Syed Iskandar Syed Jaafar yang juga seorang peguam turut gagal mendapat perintah injunksi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Malaysia melaksanakan persediaan sehingga hari pengundian pada 19 November ini.
Dengan keputusan itu, proses penamaan calon di seluruh negara diteruskan esok.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan demikian selepas berpuas hati isu-isu yang dibangkitkan, akan didengar dan diputuskan pada rayuan penuh pada 14 November ini.
Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk M. Gunalan dan Datuk Seri Mariana Yahya. Mahkamah tidak mengeluarkan perintah mengenai kos.
Selain memfailkan permohonan bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi, Syed Iskandar turut memohon perintah injunksi bagi menghalang PRU15 dijalankan.
Hakim Vazeer Alam ketika membacakan keputusan tersebut berkata, permohonan bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu ditolak kerana hakim bicara tidak mengeluarkan sebarang perintah sama ada melarang atau meneruskan perjalanan PRU15.
“Oleh kerana hakim berkenaan tidak mengeluarkan sebarang perintah, maka tidak perlu bagi panel ini untuk membenarkan permohonan penangguhan. Tiada apa (perintah) untuk ditangguhkan,” ujar beliau.
Ujar Hakim Vazeer Alam, Syed Iskandar turut memohon perintah injunksi agar `status quo’ Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Malaysia dikekalkan (seperti sebelum pembubaran) bagi `memelihara’ integriti rayuan yang akan didengar pada 14 November ini.
Namun beliau berpendapat, Syed Iskandar gagal mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi mendapat perintah injunksi menghalang kedua-dua responden membuat persediaan bagi menghadapi PRU15.
“Persoalan sama ada rayuan itu akan menjadi sia-sia jika injunksi tidak dibenarkan, tidak timbul kerana rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi telah ditetapkan pada 14 November, iaitu lima hari sebelum tarikh mengundi.
“Segala isu berbangkit akan didengar dan ditentukan pada tarikh itu,” ujar beliau.
Oleh yang demikian, panel itu berpuas hati imbangan kesesuaian (balance of convenience) memihak kepada ketiga-tiga responden yang menyebabkan mahkamah menolak permohonan perintah injunksi.
Dalam permohonannya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai responden pertama, kedua dan ketiga. – KOSMO! ONLINE