PETALING JAYA – Pelakon juga usahawan popular, Tya Arifin terkedu dan gembira apabila menerima kejutan berupa sebuah kereta mewah jenis Tesla model Y sempena hari lahirnya ke-28 dan ulang tahun perkahwinan ketujuh daripada suaminya, Asyraf Khalid.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik Instagram dan YouTubenya, Tya atau nama lengkapnya Nurtria Wulandari Arifin ceria saat diraikan dengan hadiah berupa kereta Tesla berwarna putih oleh Asyraf.
“Terima kasih sayang (panggilan untuk suaminya). Walaupun saya tidak faham mengenai kereta tapi saya gembira dapat kereta.
“Terima kasih dan selamat ulang tahun perkahwinan juga untuk awak. Kita sudah tujuh tahun bersama. Sememangnya saya sangat gembira kerana masih lagi ada di sebelah sayang,” ujar Tya.
Dalam video tersebut, Asyraf memberitahu dia menghadiahkan kereta kepada isterinya sebagai pembakar semangat agar isterinya itu lebih kuat bekerja.
“Saya bagi hadiah ini bersempena ulang tahun perkahwinan dan hari jadi.
“Terima kasih sayang jadi isteri dan ibu yang baik untuk saya dan anak-anak,” kata anak tiri kepada penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza itu.
Hasil semakan Kosmo!, harga Tesla model Y adalah sekitar RM345,800 hingga RM481,900 sebuah.
Sekitar Julai lalu, pasangan suami isteri itu berkongsi rasa sebak apabila terpaksa menjual kereta utama mereka selepas lima tahun digunakan. Bagaimanapun Tya dan Asyraf tidak berkongsi sebab mereka menjual kereta tersebut.
Untuk rekod, Asyraf dan Tya berkahwin pada 1 November 2015. Pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata iaitu Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa yang masing berusia lima dan tiga tahun. -KOSMO! ONLINE