LONDON – Pemain sayap sensasi Arsenal, Gabriel Martinelli mendedahkan hasratnya untuk menyambung kontrak baharu bersama The Gunners meskipun khidmatnya mendapat perhatian beberapa kelab utama lain dan kini menunggu tawaran rasmi daripada pihak pengurusan.
Pemain antarabangsa Brazil itu mengakui perbincangan bersama pihak pengurusan sedang giat dilakukan bagi memastikan kontrak asal yang bakal berakhir pada 2024 dilanjutkan untuk jangka panjang
Martinelli yang baru berusia 21 tahun mengakui cukup gembira untuk kekal bersama Arsenal kerana selesa dan serasi dengan rakan-rakan sepasukan selain mudah bekerja di bawah bimbingan Mikel Arteta.
“Saya sangat gembira untuk meneruskan karier bersama Arsenal dan perkara ini telah saya ulangi banyak kali sebelum ini. Arsenal adalah kelab utama saya dan saya cintakan segala yang ada di sini termasuk bandar raya London.
“Justeru, saya percaya proses untuk melanjutkan kontrak cukup mudah untuk dilakukan dan apa yang mereka perlukan hanyalah sebatang pen buat saya,” kata Martinelli yang sudah menyarung jersi The Gunners sejak 2019.
Sementara itu, Martinelli turut mendedahkan impian untuk diserapkan dalam skuad utama Brazil pada kempen Piala Dunia 2022 di Qatar yang akan membuka tirai rasmi pada 20 November ini.
“Sudah tentu hasrat utama saya selepas tampil konsisten bersama Arsenal musim ini adalah untuk diserapkan dalam skuad Brazil.
Beraksi di Piala Dunia menjadi impian semua pemain dan saya akan terus bekerja keras ke arah merealisasi impian tersebut,” katanya. – AGENSI