fbpx

Durian luar musim jadi rebutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA pelanggan yang datang membeli buah durian di gerai milik Nur Fatihah di Jalan Telok Ayer Tawar, Seberang Perai baru-baru ini.

SEBERANG PERAI – Penggemar buah durian tidak perlu me­nunggu lama untuk menikmati kelazatan raja buah itu yang kini boleh diperoleh di luar musim.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Butterworth di sini mendapati para melanggan mula berpusu-pusu untuk mengunjungi pelbagai gerai yang menjual buah ber­kenaan sejak beberapa minggu lalu.

Pengusaha durian, Nur Fatihah Ahmad Dasila, 30, berkata, pelanggan lebih berminat menikmati buah durian di luar musim berbanding pada musim lambakan buah berkenaan.

“Kami memperoleh bekalan durian dari Bota, Perak dan kebanyakannya adalah jenis durian kampung.

“Setiap hari, kami akan mendapat bekalan sebanyak satu tan dari pekebun dan semuanya akan habis dijual hanya dalam tempoh sehari,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di gerai duriannya yang terletak dekat Jalan Telok Ayer Tawar di sini kelmarin.

Menurut Nur Fatihah, harga durian kampung adalah bergantung kepada saiz iaitu antara RM8 sehingga RM12 sekilogram dan hasil pendapatan yang diperoleh dalam sehari mampu mencecah sehingga RM5,000.

“Rata-rata pelanggan datang dan memborong durian kami. Ada juga yang borong untuk satu kereta (pikap).

“Kebanyakan pelanggan-pe­langgan ini adalah peniaga durian dari kawasan lain.

“Namun, agak berbeza apabila tiba musim durian sebenar yang mana kami boleh meraih pula­ngan sehingga RM15,000 sehari disebabkan variasi durian yang lebih banyak,” katanya yang me­ngusahakan perniagaan buah durian bersama suami, Muhammad Asri Abdul Rani, 33, sejak lapan tahun lalu.

Menurut Nur Fatihah, boleh dikatakan harga durian yang ditawarkan kali ini adalah mampu milik, manakala isi buah berkenaan juga lebih lemak manis dan segar.

“Kebanyakan mereka (pelanggan) yang datang adalah pelanggan tetap,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Seorang pelanggan, Mohd Zaidi Md Ribu, 48, berkata, dia sanggup memborong sehingga sepuluh biji durian di gerai tersebut memandangkan isi buah itu yang berkualiti selain harganya yang berpatutan.

“Tiap kali musim durian, saya akan beli dari gerai ini. Kalau bukan musim sekali pun, saya tetap akan beli kerana tahu kualiti durian yang dijual bukan biasa-biasa sebaliknya premium, harga pula amat berpatutan,” katanya.

Antara negeri yang turut me­nyaksikan durian di luar musim termasuklah Perak, Terengganu dan juga Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI