fbpx

Azwan Ali cabar Azmin, sah bertanding Parlimen Gombak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZWAN ALI akan muncul di Pusat Penamaan Calon Parlimen Gombak, esok pukul 8 pagi.

PETALING JAYA – Bukan lagi cakap kosong, pengacara sensasi, Azwan Ali membuat pengesahan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  merebut kerusi Parlimen Gombak atas tiket calon Bebas.

Azwan ketika dihubungi Kosmo! Online, berkata, beliau tidak kisah dengan kritikan orang ramai menyifatkan penglibatannya kali ini sebagai ‘pengacau’ yang membawa kepada perpecahan undi.

“Saya tak hairan apa orang nak cakap tapi apa yang penting, saya berasa sangat bertanggungjawab untuk melakukan perubahan di negara ini.

“Buat para pengikut, saya tahu kalian mahukan saya bertanding. Tak kisahlah saya menang atau tidak, itu bukan sebab mengapa saya berani bertanding.

“Saya gemuruh sebab akan melawan dua personaliti iaitu penyandang, Azmin Ali dan Amiruddin Shari. Tapi, kalau tanya saya, sokongan saya ‘pergi’ kepada Amiruddin Shari. Mengapa? Saya akan beri penjelasan dan jawapan esok hari,” katanya.

Azwan atau mesra disapa dengan nama Diva AA bakal berdepan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini dilaporkan sedia mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada PRU15.

Pengacara bermulut laser itu juga bakal menentang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Azwan berkata, andai tidak bernasib baik pada pada PRU15, beliau tidak kecil hati kerana mendapat sokongan ramai termasuk daripada Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua dan Ketua Cabang PKR Gombak.

Azwan, 56, berkata, beliau akan hadir ke Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak, esok.

Beliau sempat memberi peringatan kepada abangnya, Azmin untuk tidak terlalu mendongak ke atas dengan kejayaan yang bersifat sementara.

“Saya akan datang awal pada hari penamaan calon esok. Pukul 8 pagi saya akan terpacak di sana! Buat Azmin Ali, selamat maju jaya buat anda. Ingatlah asal usul kita.

“Saya minta dia hayatilah lagu lirik lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Terbang Helang.

“Lagu itu saya tujukan buat Azmin. Dia boleh menang dan dia boleh terus terbang tinggi dengan labu-labunya, tapi ingat, suatu hari dia akan jatuh,” tuturnya.

Menurutnya lagi, kalau sebelum ini pada PRU14 dia berhabis puluhan ribu untuk bertanding kerusi DUN Bukit Antarabangsa, kali ingin beliau menganggarkan lebih RM50,000 untuk kerusi Parlimen.

“Saya keluar duit sendiri. Tiada orang sponsor atau taja. Saya tak kisah berhabis wang berpajak gadai demi melihat Malaysia yang maju dan ‘bersih’.

“Orang nak maki atau cemuh saya, silakan tapi saya tahu apa yang saya buat. Bukan hanya berpeluk tubuh jari jemari ligat atas papan kekunci telefon,” katanya lagi.

Terdahulu, Azwan yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRU14 bagi DUN Bukit Antarabangsa mencuri perhatian netizen apabila memuat naik beberapa keping foto dirinya dengan solekan ala wanita.

Pada PRU14 empat tahun lalu, Azwan hanya meraih 90 undi sekali gus tewas di kawasan tersebut selepas menghabiskan berhabis puluhan ribu ringgit untuk berkempen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI