BUKIT JALIL – Pelari para negara, Muhammad Hafiq Hizwan mengakui harapannya untuk menambah koleksi emas kedua pada Para Sukan Malaysia (Sukma) mungkin tampak sukar selepas mengalami kecederaan bahu.
Pelari dari Melaka tersebut mendedahkan, dia mengalami kecederaan sewaktu memenangi pingat emas dalam acara 100 meter T46 (kecacatan anggota) di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.
Justeru, Hafiq menjelaskan, dia terpaksa melupakan kesakitan agar emas kedua dalam acara 200m mampu dituai esok.
“Seperti diketahui, tangan kiri saya hilang akibat kemalangan motosikal dan saya bergantung kepada sebelah tangan ketika ini.
“Namun, perkara memeritkan apabila saya mengalami kecederaan bahu ketika di garisan penamat. Kemungkinan esok dalam acara 200m saya bersaing dengan bahu berbalut.
“Apapun, saya akan berusaha dan lupakan kesakitan sementara kerana saya ingin meraih emas dalam acara 200m. Saya bekerja keras sebelum ke sini dan saya mahu merealisasikan impian tersebut.
“Empat tahun saya tunggu ke Sukma ni. Jadi saya akan beri 100 peratus untuk negeri Melaka,” katanya yang menghadiahkan emas pertama kontinjen Melaka semalam.
Pada acara sebelah petang hari ini, Hafiq yang iras seperti pelakon Faizal Hussein turut cemerlang dalam acara 400m apabila berjaya menambah koleksi pingat perak.
Hasil keputusan tersebut, Hafiq berjaya memperbaiki pencapaian empat tahun lalu di Sukma 2018 apabila meraih pingat gangsa 200m dan 400m. – KOSMO! ONLINE