LONDON – Pasukan bomba di Britain menggelar seorang kanak-kanak perempuan sebagai ‘superstar’ selepas dia berjaya bertenang ketika mereka berusaha mengeluarkan pelapik mangkuk tandas yang tersangkut pada lehernya, lapor akhbar Daily Star semalam.
Harper Stewart, 2, memerlukan bantuan selepas dia menghulurkan kepalanya melalui lubang kecil pada pelapik mangkuk tandasnya.
Ibunya, Kay, 27, cuba mengeluarkan pelapik itu namun gagal walaupun sudah menggunakan cecair pencuci untuk melonggarkannya.
Walaupun Kay dibantu anak sulungnya, Shannon, 16, ia masih sukar dilepaskan daripada leher Harper.
Shannon akhirnya menghubungi panggilan kecemasan sebelum anggota bomba bergegas ke rumah keluarga itu di Wallsend, North Tyneside.
Kru dari Tyne dan Wear Fire and Rescue Service (TWFRS) memotong pelapik itu dan menyiarkan gambar operasi mereka di Facebook.
“Ia sangat cemerlang untuk melihat betapa pantas mereka membantu kami dan melepaskan pelapik itu. Harper memberi pelukan erat kepada bomba sebagai tanda terima kasih.
“Saya sangat berterima kasih atas bantuan mereka pada petang hari kejadian,” kata Kay. – Agensi