fbpx

35 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja dibawa pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN daripada mangsa jenayah penipuan pekerjaan yang selamat tiba dari Kemboja di KLIA semalam. - Foto IHSAN WISMA PUTRA

PUTRAJAYA – Seramai 35 orang mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan warga Malaysia di Kemboja telah berjaya dibawa pulang ke tanah air menerusi dua penerbangan semalam.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, kejayaan tersebut menyaksikan tiada lagi rakyat Malaysia berada dalam depoh tahanan imigresen negara berkenaan setakat ini.

“Kesemua 28 orang yang menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH755 itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 2 petang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu ujar beliau, kumpulan kedua melibatkan baki tujuh orang lagi rakyat Malaysia telah mendarat di KLIA2 pukul 5.35 petang hari yang sama dengan menaiki pesawat Air Asia penerbangan AK539.

Setakat semalam, kementerian berkenaan sudah berjaya menyelesaikan 220 kes jenayah penipuan itu dari Kemboja namun akan terus lagi memantau situasi dari semasa ke semasa.

“Pada masa sama, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Laos, Myanmar dan Thailand akan terus menggiatkan usaha pengesanan dan menyelamatkan warga Malaysia,” tambah beliau.

Berdasarkan rekod semasa katanya, daripada keseluruhan 459 laporan yang diterima oleh Wisma Putra, seramai 324 orang mangsa di tiga negara itu sudah pun berjaya diselamatkan.

Jumlah berkenaan turut meliputi seramai 20 orang yang kini berada dalam depoh tahanan imigresen di ketiga-tiga negara tersebut atas kesalahan tiada rekod dokumentasi perjalanan.

Pihak Kedutaan Besar Malaysia sedang bekerjasama dengan kerajaan negara berkenaan bagi mengesan seramai 135 orang lagi yang dilaporkan sebagai mangsa jenayah tersebut.

Saifuddin turut menasihatkan warga Malaysia supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran pekerjaan menarik dari luar negara yang diterima terutamanya melalui platform media sosial.

Ujar beliau, mereka boleh berhubung dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di negara itu jika ada keraguan berhubung status kesahihan tawaran berkenaan agar tidak menjadi mangsa.

“Sekiranya ada ahli keluarga yang sudah terjebak dalam sindiket itu dan memerlukan bantuan sewajarnya, sila segera buat laporan aduan kepada pihak polis dan Wisma Putra,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI