KOTA KINABALU – Parti Warisan (Warisan) hari ini mengumumkan bakal bertanding di 25 kerusi Parlimen Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Menerusi pengumuman yang dibuat hari ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memaklumkan beliau sebagai calon bagi kerusi Parlimen Semporna.
Ia diumumkan beliau pada Majlis Pengumuman dan Penyerahan Tauliah Calon-Calon Bertanding Mewakili Bagi Parti Warisan Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di sini hari ini.
Dalam masa sama, penyandang Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Islil diumumkan sebagai calon Warisan bagi kerusi tersebut.
Penyandang lain yang mempertahankan kerusi yang disandang sebelum ini adalah Datuk Darell Leiking (Penampang), Datuk Azis Jamman (Sepanggar), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud) dan Ahmad Hassan (Papar).
PRU15 kali ini turut memperlihatkan Warisan mengetengahkan hampir 80 peratus muka baharu termasuk ramai calon muda serta wanita.
Antara calon berkenaan adalah Jo-Anna Sue Henley Rampas (Tuaran), Amanda Yeo (Kota Kinabalu), Masri Adul (Beaufort), Ukim Buandi (Tenom), Alex Thien (Sandakan) dan KC Chean (Tawau).
Lain-lain calon yang diumumkan hari ini termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Alias Sani yang akan bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi, Ahmad Mohd. Said (Putatan), Siti Noorhasmahwatty Osman (Pensiangan), Rowiena Rasid (Beluran) dan Sharif Bokrata Hassan (Libaran).
Selain itu, Ismail Ayub (Kinabatangan), Yusof Apdal (Lahad Datu), Rasinin Kautis (Keningau), Dr Daud Yusof (Kimanis), Datuk Adnan Puteh (Sipitang), Markos Siton (Ranau), Abdul Rashid Abdul Harun (Kudat), Datuk Jilid @ Zainuddin Kuminding (Kota Marudu) dan Mohd. Ismail Ayob (Kinabatangan).
Turut diumumkan calon Warisan untuk bertanding di DUN Bugaya iaitu Jamil Hamzah. – KOSMO! ONLINE