LIVERPOOL – Liverpool menamatkan aksi tanpa kalah Napoli dalam 21 perlawanan selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas pasukan Serie A itu pada saingan Kumpulan A Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi semalam.
Bagaimanapun, The Reds terpaksa menunggu sehingga minit ke-85 untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain sayap, Mohamed Salah sebelum penyerang, Darwin Nunez melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dilihat kembali menggunakan formasi 4-3-3 selepas sedar formasi 4-4-2 ‘berlian’ yang digunakan sebelum ini gagal untuk mengeluarkan kemampuan sebenar pasukan itu.
“Mengenai formasi pasukan, ia adalah tugas jurulatih dan saya tidak berhak untuk mempersoalkannya. Bagaimanapun, saya sangat selesa apabila bermain menggunakan formasi (4-3-3) ini.
“Secara jujur, saya tidak kisah bermain di mana-mana posisi, namun posisi sekarang adalah paling sesuai. Dalam tempoh enam atau tujuh tahun kebelakangan, memang ini posisi sebenar saya,” kata Salah.
Pada masa sama, pemain antarabangsa Mesir itu juga lega kerana gol pertama dikreditkan kepadanya selepas menolak masuk tandukan Nunez yang diselamatkan penjaga gol Napoli, Alex Meret.
“Sesiapa sahaja boleh menjaringkan gol asalkan pasukan mencatat kemenangan. Sebagai penyerang, sudah tentu saya mahu cetak nama selaku penjaring, begitu juga Nunez. Kemenangan ini sangat penting untuk kami,” ujarnya. – AGENSI