PETALING JAYA – Suami mangsa kemalangan maut di Lebuh Raya Utara-Selatan, meminta bantuan orang ramai berkongsi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) ketika kejadian, 26 Oktober lalu.
Allan Cham Wei Lun melalui hantaran di Facebook hari ini berkata, kejadian tersebut berlaku di Kilometer (KM) 129.5 dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 5.45 petang.
“Sebagaimana yang anda semua ketahui, saya serta mendiang isteri terlibat dalam kemalangan ini dan telah meragut nyawa isteri tercinta saya.
“Saya sedang mencari mana-mana pihak yang mempunyai rakaman dashcam yang merakamkan insiden kemalangan ini. Semoga tuhan merahmati dan membalas budi baik anda semua,” ujarnya.
Dalam masa sama, Allan Cham turut meminta pengguna Facebook untuk menyebarkan perkongsiannya itu bagi menjejak orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian tersebut.
Setakat ini, hantaran tersebut telah menerima sebanyak 4,000 perkongsian sejak dimuat naik tujuh jam yang lalu. – KOSMO! ONLINE