fbpx

Sikap berdiam diri, fokus tugas punca ramai kata Perlis tiada MB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlan bersama bantuan barang perniagaan yang diberikan kepada rakyat memerlukan menerusi program Perlis Pahadol di Kangar, baru-baru ini.

KANGAR – Menteri Besar (MB) Perlis, Datuk Seri Azlan Man memberitahu bahawa beliau lebih suka mengambil sikap berdiam diri dan fokus terhadap tugas sejak menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

“Dek kerana itu ramai yang berbunyi Perlis tiada Menteri Besar,” kata Azlan menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Menurutnya, ramai juga yang berkata bahawa tiada pembangunan di negeri ini sejak sembilan tahun lalu.

“Namun, hakikat sebenar rakyat negeri Perlis dapat lihat sendiri pembangunan yang berlaku di sekeliling.

“Sektor ekonomi di negeri ini semakin rancak terutama selepas wabak pandemik (Covid-19) melanda dengan francais-francais jenama terkenal telah mula bertapak di Perlis,” katanya.

Ujarnya, gerai-gerai perniagaan juga dapat dilihat hampir di sepanjang jalan utama serta kuasa membeli juga semakin bertambah.

“Di mana-mana kita sentiasa melihat orang ramai berkumpul untuk membeli-belah,” jelasnya.

Katanya, segala yang berlaku di negeri Perlis pada hari ini tidak berlaku dengan sendirinya yang mana ia adalah hasil perancangan dan atas keizinan Allah.

Azlan dalam hantaran sama turut berkongsi maklumat tentang pencapaian kerajaan negeri Perlis dari 2013 hingga 2022 antaranya pelaburan awam dan swasta masing-masing sebanyak RM3.93 bilion dan 28.43 bilion.

Selain itu, terdapat bantuan kebajikan kepada rakyat menerusi Perlis Pahadol, perumahan B40, pemantapan sektor pelancongan dan pemerkasaan pertanian komersial termasuk harumanis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI