fbpx

Shahril dedah 4 sebab surat aku janji angkat Zahid jadi PM palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahril.

PETALING JAYA – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mendedahkan empat sebab utama surat aku janji yang didakwa ingin mengangkat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri, adalah palsu.

Beliau berkata, dokumen tersebut yang tular sejak semalam di media sosial tidak menggunakan kepala surat Barisan Nasional (BN), sebaliknya UMNO.

“Ini pilihan raya umum (PRU), kenapa bukan kepala surat BN. Sebab kedua, jika dilihat cara surat itu ditulis, penjarakan huruf besar dan kecil tidak konsisten dengan surat yang kita tahu sahih.

“Sebagai contoh, dalam surat yang pernah dikeluarkan sebelum ini, tulisan Barisan Nasional itu bukan semuanya huruf besar,” katanya melalui Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Shahril yang juga calon BN di Parlimen Alor Gajah berkata, antara perkara lain yang menunjukkan surat itu palsu adalah berkenaan syarat untuk mengetepikan kes pemimpin-pemimpin UMNO.

“Surat ini dibuat untuk kuatkan spekulasi, ia tidak akan ditulis sebegitu (menggugurkan kes mahkamah). Memang tak logik.

“Yang ke empat adalah saya juga bakal calon dan ada menandatangani surat (aku janji) tetapi ia berkenaan lompat parti dan kesetiaan bagi memastikan kita menjadi calon yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Jelasnya, perkara sedemikian dilakukan oleh pihak yang terdesak bagi menghasut rakyat untuk tidak menyokong BN.

Terdahulu, tular satu surat aku janji mengandungi beberapa syarat termasuk mengangkat Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri selain mengetepikan kes mahkamah pemimpin-pemimpin parti itu.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut menafikan kewujudan beberapa syarat aku janji yang memaksa semua calon untuk mengangkat Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, penyandang kerusi Parlimen Pontian itu memberitahu, kewujudan surat aku janji yang ada hanyalah bertujuan untuk memastikan kesetiaan semua calon kepada parti. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI