fbpx

PRU15: Ustaz Kazim tarik diri tak mahu bertembung dengan abangnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ustaz Kazim.

JOHOR BAHRU – Alasan isu keluarga dipercayai menjadi punca Datuk Mohd. Kazim Elias membuat keputusan untuk menarik diri daripada mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan abangnya yang turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau mewakili Perikatan Nasional (PN).

“Saya difahamkan abang beliau (Ustaz Kazim) bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di salah satu DUN di Larut, jadi saya kira ada hal keluarga.

“Tambahan pula, beliau pula dicadangkan untuk jadi calon BN di Larut, jadi tentunya dia berlaga, jadi itu yang mungkin jadi isu di Larut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pengenalan dan Penyerahan Watikah Calon BN di Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Kazim yang juga penceramah bebas itu mengumumkan menarik diri daripada bertanding di kawasan tersebut dan memaklumkan sendiri keputusan itu kepada UMNO Perak.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, Mohd. Kazim digantikan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd. Shafiq Fhadly Mahmud.

Kelmarin, pencalonan Ustaz Kazim diumumkan sendiri Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Pemilihan tokoh agama itu berdasarkan populariti dan pengaruhnya di negeri Perak dan sesuai untuk berdepan calon PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Larut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI