PUTRAJAYA – Persiapan menjelang proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Putrajaya (P125) berjalan dengan lancar.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Putrajaya, Shamshul Joehari Zainal Mokhtar berkata, proses penamaan calon bagi PRU15 itu akan berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 9, di sini pada Sabtu ini.
Beliau berkata, persiapan berkaitan gerak kerja, kemudahan dan soal keselamatan telah dilaksanakan sejurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRU15 pada 20 Oktober lalu.
“Kita turut mendapat kerjasama baik dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. Alhamdulillah, semua persiapan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Berhubung proses penamaan calon Sabtu ini, Shamshul Joehari turut menasihatkan semua penyokong parti politik untuk menjaga tatasusila sepanjang proses itu berjalan.
“Kita amalkan demokrasi malah parti politik kini matang jadi harap mereka beri kerjasama baik sepanjang proses-proses PRU15 berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 12 pusat mengundi dengan lebih 60 saluran akan disediakan bagi pilihan raya kali ini.
Ujar beliau, terdapat pertambahan bagi saluran kali ini malah bilangan petugas pilihan raya juga meningkat kepada lebih 500 petugas selaras dengan peningkatan jumlah pengundi berbanding PRU14.
“Terdapat 42,812 pemilih berdaftar di Putrajaya berbanding PRU14 iaitu hanya 27,306,” jelas beliau.
Parlimen Putrajaya bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan penyandang kerusi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Barisan Nasional), Datuk Dr. Radzi Jidin (Perikatan Nasional), Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz (Parti Keadilan Rakyat) dan Datuk Mohd. Rosli Ramli (Pejuang).
Pada PRU14 lalu, Tengku Adnan berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya buat penggal keempat apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan PKR, Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat. – KOSMO! ONLINE