fbpx

PRU15: Muda serahkan nasib di tangan pengundi Masjid Tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mutalib (empat dari kiri) pada majlis pengenalan calon oleh Adly (tiga dari kanan) di Pejabat Graha Amanah, di Bukit Katil, Melaka, hari ini.

MELAKA – Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Parlimen Masjid Tanah, Mutalib Uthman yakin peluang sama rata akan diberikan oleh pengundi di kawasan itu meskipun berdepan dengan penyandangnya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, Muda bersedia menunjukkan potensi dan perubahan yang bakal dibawa termasuk mengetengahkan isu-isu berbangkit untuk disuarakan di peringkat Parlimen.

Katanya, kawasan tersebut dilihat berpotensi tinggi untuk dimajukan menjadi sebuah bandaraya berpendapatan tinggi dan melahirkan usahawan-usahawan tanpa perlu berhijrah ke pusat bandar.

“Kami tidak melihat kepada isu calon luar atau calon payung terjun, sebaliknya apa yang ditawarkan dalam perjuangan parti iaitu ‘mengangkat’ suara-suara rakyat yang sebelum ini mungkin tenggelam.

“Kita mahu membantu memajukan taraf hidup masyarakat dengan momentum golongan muda yang lebih tinggi dan sentiasa peka dengan perubahan diperlukan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pejabat Graha Maju Amanah, di Bukit Katil, di sini, hari ini.

Menurut Mutalib, ia termasuk perancangan mampan dalam membangunkan Masjid Tanah ini menjadi sebuah bandaraya berpendapatan tinggi dan rakyat perlu lagi berulang-alik ke Kuala Lumpur kerana tawaran gaji.

Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari pada majlis memperkenalkan calon memberitahu, keputusan parti itu memberi laluan kepada Muda adalah tepat berdasarkan kepada potensi dan latar belakang Mutalib.

“Beliau merupakan bekas Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Pendidikan dan mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.

“Kita yakin beliau dapat menunjukkan pembaharuan dan pimpinan yang peka dengan isu-isu rakyat serta lebih fokus dalam merangka dasar yang adil dan saksama untuk masyarakat Masjid Tanah,” katanya.

Adly yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan pemilihan calon luar kawasan itu adalah perkara biasa yang turut diamalkan oleh parti lain.

Mutalib dijangka berdepan dengan saingan sengit daripada Mas Ermieyati dan calon Barisan Nasional (BN) iaitu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid.

Pada PRU14, Mas Ermieyati memenangi kerusi itu menerusi tiket BN dengan memperolehi 22,898 undi menewaskan calon PKR, Datuk Dr. Sabirin Jaafar dan calon Pas, Nasir Othman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI