KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) akur dengan pemilihan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Nerus.
Pengerusi BPUNT, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pemilihan Mohd. Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas merupakan pertimbangan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.
“Itu kuasa Presiden (Ahmad Zahid), kita di negeri (Terengganu) akur (dengan keputusan itu),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, BN dalam satu kenyataan pada malam ini mengumumkan Mohd. Khairuddin
antara salah satu tujuh calon bagi kerusi Parlimen yang masih belum diumumkan sebelum ini.
Mohd. Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi merupakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus sejak tahun 2013.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, beliau mengekalkan kerusi Kuala Nerusi dengan majoriti 8,447 undi.
Mohd. Khairuddin kemudiannya mengumumkan berhenti daripada Pas pada Mac lalu dan menjadi Ahli Parlimen Bebas. – KOSMO! ONLINE