JEMPOL – Seorang pekerja swasta lega apabila Proton Wira yang disayanginya berjaya ditemui kurang lima jam di Mentakab, Pahang selepas dilarikan di rumahnya di Kampung Ayer Itam di sini kelmarin.
Mohamad Fahmi Md. Radzi, 32, berkata, dia yang terdengar bunyi keretanya dihidupkan sekitar pukul 6 pagi kelmarin hanya sempat menjerit kepada pencuri terbabit sebelum penjenayah itu melarikan diri.
“Keluarga bapa saudara membantu saya menghubungi polis dan dalam masa sama, kami menghebahkan kejadian di media sosial.
“Alhamdulillah, hasil kerjasama orang ramai serta pihak polis, kereta saya akhirnya ditemui di kawasan ladang sawit di Mentakab, Pahang.
“Berdasarkan gambar serta video yang diberikan orang ramai dan polis, banyak aksesori kenderaan yang telah dileraikan, malah nombor plat juga sudah ditukar,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Ayer Itam di sini semalam.
Menurutnya, dia mengesyaki pencuri menyasarkan aksesori Proton Wira miliknya itu yang dibeli dari seorang guru pada tahun 2017 dengan harga RM5,000.
Katanya, dia sudah berhabis berbelas-belas ribu ringgit bagi menambah aksesori sehingga ada pihak yang menawarkan untuk membeli keretanya pada harga lebih RM12,000.
“Saya memang sayang kereta ini, banyak modal habis. Kes kecurian Proton Wira di negara ini memang tinggi. Mungkin sebab harga pasarannya sentiasa ada dan tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek iaitu lelaki berusia 20 tahun kini telah direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.